Monday, August 16, 2010

Kelebihan Ramadhan Dan Berpuasa


Ramadhan adalah bulan umat Muhammad s.a.w. Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, "Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan. "Sabda baginda dalam hadis yang lain, "Jika umat manusia itu mengetahui akan kelebihan yang ada di dalam bulan Ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu sebagai bulan Ramadhan."

Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebaan dari siksa api neraka.

1. Dibuka Pintu Syurga, Ditutup Pintu Neraka Dan Dibelenggu Syaitan:

Apabila tiba Ramadhan:
i. dibuka pintu-pintu syurga [Bukhari/1765]
ii. dibuka pintu-pintu Ar-Rahmah [Muslim/1794]
iii. dibuka pintu-pintu langit [Bukhari/1766]
iv. dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. [Muslim/1793] [Muslim/1764] [Muslim/1793] [Muslim/1794] [Bukhari/1766]

2. Memperoleh Kebaikan Apabila Bersegera Berbuka Puasa:

Tidaklah hilang kebaikan bagi manusia selama mana mereka bersegera dalam berbuka puasa [Muslim/1838] [Bukhari/1821] [Muwattha’/561] [Muwattha’/562]

Telah datang aku (Abi `Atiyyah) dan Masruq kepada `A’isyah dan berkatalah kami: “Wahai Ummi l-Mu’minin, dua orang lelaki dari kalangan sahabat Muhammad SallaLlahu `alaihi wasallam, salah seorang dari keduanya menyegerakan berbuka puasa dan menyegerakan solat, dan seorang lagi melambatkan berbuka puasa dan melambatkan solat”.
Dia (`A’isyah) berkata: “Yang manakah di antara keduanya yang menyegerakan berbuka puasa dan menyegerakan solat?”
Dia (Abu `Atiyyah) berkata: Berkatalah kami (Abu `Atiyyah dan Masruq) “`AbduLlah iaitu Abu Mas`ud”.
Dia (`A’isyah) berkata: “Itu sepertimana yang dilakukan oleh Muhammad SallaLlahu `alaihi wasallam”. [Muslim/1839] [Muslim/1840]


3. Memasuki Syurga Melalui Pintu Ar-Rayyan:

Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari qiyamat kelak. Tidak masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Diumumkan: “Di manakah orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk melaluinya (pintu Ar-Rayyan). Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, ditutup (pintu itu) maka tiada lagi orang lain yang akan memasukinya. [Muslim/1947] [Bukhari/1763]


4. Diampunkan Dosa Lampau:

Sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. [Muslim/1266] [Muslim/1267] [Bukhari/1768]

Sesiapa yang berpuasa pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu [Muslim/1268] dan sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Lailatu l-Qadr dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. [Muslim/1268] [Bukhari/1768]


5. Kelebihan Lailatu l-Qadr:

Lailatu l-Qadr lebih baik daripada 1000 bulan [Surah Al-Qadr/3]

Bilakah Lailatu l-Qadr ?

(i) 7 Malam Terakhir:

Terdapat beberapa orang dari kalangan sahabat RasuluLlah SallaLlahu `alaihi wasallam telah bermimpi melihat Lailatu l-Qadr pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah SallaLlahu `alaihi wasallam berkata: “Mengikut pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh yang terakhir”. [Muslim/1985]

Carilah Lailatu l-Qadr pada tujuh yang terakhir [Muslim/1986]


(ii) 10 Malam Terakhir:

Maka sesiapa yang mencarinya (Lailatu l-Qadr) maka carilah ia pada sepuluh yang terakhir. [Muslim/1990]

Aku telah bermimpi Lailatu l-Qadr kemudian sebahagian dari ahli keluargaku mengejutkan aku lalu aku lupa akannya, maka kamu carilah ia pada sepuluh yang berbaki (sepuluh malam terakhir). [Muslim/1992]


(iii) 10 Malam Terakhir Yang Ganjil (Tidak Genap):

Aku telah bermimpi Lailatu l-Qadr tetapi aku terlupa waktunya. Carilah ia dalam sepuluh malam terakhir yang ganjil. [Muslim/1993] [Muslim/1995]

Seorang lelaki bermimpi bahawa Lailatu l-Qadr pada malam ke-27, maka berkatalah Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam: “Pada pandanganku mimpi kamu pada sepuluh yang terakhir, maka tuntutlah ia pada yang ganjil darinya (carilah Lailatu l-Qadr pada 10 malam terakhir yang bilangannya ganjil. [Muslim/1987]


(iv) 10 (Atau 9) Malam Terakhir:

Carilah kamu Lailatu l-Qadr pada sepuluh terakhir - atau dia berkata - sembilan terakhir. [Muslim/1991]


(v) 10 Malam Terakhir Atau Jika Tidak Mampu 7 Malam Terakhir:

Carilah ia pada sepuluh yang terakhir – iaitu Lailatu l-Qadr – maka jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah lemah (tidak mampu) pada tujuh yang berbaki (kuatkanlah diri untuk mencari Lailatu l-Qadr pada 7 malam terakhir jika tidak mampu mencari pada sepuluh malam terakhir). [Muslim/1989]


(vi) Malam Ke-27:

Dari Ubai bin Ka`ab dia berkata: Berkata bapaku tentang Lailatu l-Qadr, “Demi Allah, sesungguhnya memang aku mengetahuinya”. Berkata Syu`bah, “Dan petunjuk paling besar (tentang Lailatu l-Qadr) ialah malam yang RasuluLlah SallaLlahu `alaihi wasallam memerintahkan kami dengan qiyam (solat malam) padanya, iaitu malam ke-27”. [Muslim/2000]


6. Ganjaran `Umrah Pada Bulan Ramadhan:

Apabila tiba Ramadhan maka kerjakanlah `umrah kerana mengerjakan `umrah padanya (bulan Ramadhan) sama dengan (ganjaran) mengerjakan haji. [Muslim/2201] atau mengerjakan haji bersama-sama aku (RasuluLlah) [Muslim/2202]


7. Sebagai Pelindung:

Puasa itu pelindung. [Bukhari/1761] [Bukhari/1771] [Muslim/1943] [Muslim/1944]


8. Bau Mulut Orang Berpuasa Lebih Harum:

Dan demi diriku (Muhammad) yang di Tangan-Nya, sememangnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah Ta`ala (pada hari Qiyamat) dari bau al-misk (minyak wangi). [Bukhari/1761] [Bukhari/1771] [Muslim/1942] [Muslim/1944] [Muslim/1945] [Muslim/1946]


9. Ganjaran Berpuasa Dibalas Khas Oleh Allah:

Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, ia (puasa) adalah untuk Aku, dan Aku yang akan memberi ganjaran akannya. [Bukhari/1771] [Muslim/1942] [Muslim/1944]

Dia (orang yang berpuasa) meninggalkan makanannya dan minumannya dan syahwatnya untuk Aku, puasa buat-Ku dan Aku yang akan mengurniakan ganjaran buatnya berserta kebaikan dengan sepuluh (ganda) yang seumpama dengannya. [Bukhari/1761]


10. Mendapat Dua Kegembiraan:

Dua kegembiraan yang dia bergembira dengan kedua-duanya: apabila dia berbuka puasa dia bergembira (dengan iftarnya) dan apabila dia berjumpa dengan Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. [Bukhari/1771] [Muslim/1944] [Muslim/1945] [Muslim/1946]


11. Dijarakkan Wajahnya Dari Neraka:

Tidaklah seseorang hamba berpuasa pada suatu hari di jalan Allah (sabiliLlah), melainkan kerananya Allah menjarakkan pada hari itu wajahnya dari neraka sejauh 70 musim luruh. [Muslim/1948] [Muslim/1949]

12. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda.

13. Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardu.

Dicopy paste dari http://al-fikrah.net/News/article/sid=757.html dan http://www.tranungkite.net/teladan/teladan277.htm

No comments: