Monday, August 30, 2010

Petua Mencari Lailatul Qadar

Menurut Junjungan besar Nabi Muhammad, Lailatul Qadar berlaku pada salah satu malam (hari ganjil) pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan.


Petua Imam Ghazali dan lain-lain ulama' untuk mencari malam Lailatul Qadar...

jika awal Ramadhan jatuh pada hari:

1- ahad/rabu- lailatulqadar dijangka pada malam 29 Ramadhan

2- isnin- lailatulqadar dijangka pada malam 21 Ramadhan

3- selasa/ jumaat- lailatulqadar dijangka pada malam 27 ramadhan

4- khamis- lailatulqadar dijangka pada malam 25 ramadhan

5- Sabtu- lailatulqadar dijangka pada malam 23 ramadhan


Kata Sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas

Berdasar petua di atas, insyaallah malam qadar tahun ini jatuh pada malam ke 29 ramadhan.

Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga!!!!

Tanda malam Qadar ialah :

1) malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;

2) siangnya cahaya matahari warnanya pucat;

3) pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

MARILAH KITA BERAMAI-RAMAI MEMERIAHKAN SUASANA 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN DENGAN BERIBADAT KEPADA ALLAH SWT DENGAN IKHLAS DAN PENUH KEIMANAN, MUDAH-MUDAHAN KITA DAPAT KURNIAAN ALLAH YANG KELEBIHANNYA PAHALANYA MELEBIHI - 1000 BULAN ATAU 83 TAHUN UMUR KITA.

http://rumaizah.blogspot.com/2010/08/lailatul-qadar-tahun-ni-pada-malam-ke.html

Monday, August 16, 2010

Kelebihan Ramadhan Dan Berpuasa


Ramadhan adalah bulan umat Muhammad s.a.w. Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, "Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan. "Sabda baginda dalam hadis yang lain, "Jika umat manusia itu mengetahui akan kelebihan yang ada di dalam bulan Ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu sebagai bulan Ramadhan."

Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebaan dari siksa api neraka.

1. Dibuka Pintu Syurga, Ditutup Pintu Neraka Dan Dibelenggu Syaitan:

Apabila tiba Ramadhan:
i. dibuka pintu-pintu syurga [Bukhari/1765]
ii. dibuka pintu-pintu Ar-Rahmah [Muslim/1794]
iii. dibuka pintu-pintu langit [Bukhari/1766]
iv. dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. [Muslim/1793] [Muslim/1764] [Muslim/1793] [Muslim/1794] [Bukhari/1766]

2. Memperoleh Kebaikan Apabila Bersegera Berbuka Puasa:

Tidaklah hilang kebaikan bagi manusia selama mana mereka bersegera dalam berbuka puasa [Muslim/1838] [Bukhari/1821] [Muwattha’/561] [Muwattha’/562]

Telah datang aku (Abi `Atiyyah) dan Masruq kepada `A’isyah dan berkatalah kami: “Wahai Ummi l-Mu’minin, dua orang lelaki dari kalangan sahabat Muhammad SallaLlahu `alaihi wasallam, salah seorang dari keduanya menyegerakan berbuka puasa dan menyegerakan solat, dan seorang lagi melambatkan berbuka puasa dan melambatkan solat”.
Dia (`A’isyah) berkata: “Yang manakah di antara keduanya yang menyegerakan berbuka puasa dan menyegerakan solat?”
Dia (Abu `Atiyyah) berkata: Berkatalah kami (Abu `Atiyyah dan Masruq) “`AbduLlah iaitu Abu Mas`ud”.
Dia (`A’isyah) berkata: “Itu sepertimana yang dilakukan oleh Muhammad SallaLlahu `alaihi wasallam”. [Muslim/1839] [Muslim/1840]


3. Memasuki Syurga Melalui Pintu Ar-Rayyan:

Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari qiyamat kelak. Tidak masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Diumumkan: “Di manakah orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk melaluinya (pintu Ar-Rayyan). Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, ditutup (pintu itu) maka tiada lagi orang lain yang akan memasukinya. [Muslim/1947] [Bukhari/1763]


4. Diampunkan Dosa Lampau:

Sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. [Muslim/1266] [Muslim/1267] [Bukhari/1768]

Sesiapa yang berpuasa pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu [Muslim/1268] dan sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Lailatu l-Qadr dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. [Muslim/1268] [Bukhari/1768]


5. Kelebihan Lailatu l-Qadr:

Lailatu l-Qadr lebih baik daripada 1000 bulan [Surah Al-Qadr/3]

Bilakah Lailatu l-Qadr ?

(i) 7 Malam Terakhir:

Terdapat beberapa orang dari kalangan sahabat RasuluLlah SallaLlahu `alaihi wasallam telah bermimpi melihat Lailatu l-Qadr pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah SallaLlahu `alaihi wasallam berkata: “Mengikut pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh yang terakhir”. [Muslim/1985]

Carilah Lailatu l-Qadr pada tujuh yang terakhir [Muslim/1986]


(ii) 10 Malam Terakhir:

Maka sesiapa yang mencarinya (Lailatu l-Qadr) maka carilah ia pada sepuluh yang terakhir. [Muslim/1990]

Aku telah bermimpi Lailatu l-Qadr kemudian sebahagian dari ahli keluargaku mengejutkan aku lalu aku lupa akannya, maka kamu carilah ia pada sepuluh yang berbaki (sepuluh malam terakhir). [Muslim/1992]


(iii) 10 Malam Terakhir Yang Ganjil (Tidak Genap):

Aku telah bermimpi Lailatu l-Qadr tetapi aku terlupa waktunya. Carilah ia dalam sepuluh malam terakhir yang ganjil. [Muslim/1993] [Muslim/1995]

Seorang lelaki bermimpi bahawa Lailatu l-Qadr pada malam ke-27, maka berkatalah Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam: “Pada pandanganku mimpi kamu pada sepuluh yang terakhir, maka tuntutlah ia pada yang ganjil darinya (carilah Lailatu l-Qadr pada 10 malam terakhir yang bilangannya ganjil. [Muslim/1987]


(iv) 10 (Atau 9) Malam Terakhir:

Carilah kamu Lailatu l-Qadr pada sepuluh terakhir - atau dia berkata - sembilan terakhir. [Muslim/1991]


(v) 10 Malam Terakhir Atau Jika Tidak Mampu 7 Malam Terakhir:

Carilah ia pada sepuluh yang terakhir – iaitu Lailatu l-Qadr – maka jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah lemah (tidak mampu) pada tujuh yang berbaki (kuatkanlah diri untuk mencari Lailatu l-Qadr pada 7 malam terakhir jika tidak mampu mencari pada sepuluh malam terakhir). [Muslim/1989]


(vi) Malam Ke-27:

Dari Ubai bin Ka`ab dia berkata: Berkata bapaku tentang Lailatu l-Qadr, “Demi Allah, sesungguhnya memang aku mengetahuinya”. Berkata Syu`bah, “Dan petunjuk paling besar (tentang Lailatu l-Qadr) ialah malam yang RasuluLlah SallaLlahu `alaihi wasallam memerintahkan kami dengan qiyam (solat malam) padanya, iaitu malam ke-27”. [Muslim/2000]


6. Ganjaran `Umrah Pada Bulan Ramadhan:

Apabila tiba Ramadhan maka kerjakanlah `umrah kerana mengerjakan `umrah padanya (bulan Ramadhan) sama dengan (ganjaran) mengerjakan haji. [Muslim/2201] atau mengerjakan haji bersama-sama aku (RasuluLlah) [Muslim/2202]


7. Sebagai Pelindung:

Puasa itu pelindung. [Bukhari/1761] [Bukhari/1771] [Muslim/1943] [Muslim/1944]


8. Bau Mulut Orang Berpuasa Lebih Harum:

Dan demi diriku (Muhammad) yang di Tangan-Nya, sememangnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah Ta`ala (pada hari Qiyamat) dari bau al-misk (minyak wangi). [Bukhari/1761] [Bukhari/1771] [Muslim/1942] [Muslim/1944] [Muslim/1945] [Muslim/1946]


9. Ganjaran Berpuasa Dibalas Khas Oleh Allah:

Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, ia (puasa) adalah untuk Aku, dan Aku yang akan memberi ganjaran akannya. [Bukhari/1771] [Muslim/1942] [Muslim/1944]

Dia (orang yang berpuasa) meninggalkan makanannya dan minumannya dan syahwatnya untuk Aku, puasa buat-Ku dan Aku yang akan mengurniakan ganjaran buatnya berserta kebaikan dengan sepuluh (ganda) yang seumpama dengannya. [Bukhari/1761]


10. Mendapat Dua Kegembiraan:

Dua kegembiraan yang dia bergembira dengan kedua-duanya: apabila dia berbuka puasa dia bergembira (dengan iftarnya) dan apabila dia berjumpa dengan Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. [Bukhari/1771] [Muslim/1944] [Muslim/1945] [Muslim/1946]


11. Dijarakkan Wajahnya Dari Neraka:

Tidaklah seseorang hamba berpuasa pada suatu hari di jalan Allah (sabiliLlah), melainkan kerananya Allah menjarakkan pada hari itu wajahnya dari neraka sejauh 70 musim luruh. [Muslim/1948] [Muslim/1949]

12. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda.

13. Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardu.

Dicopy paste dari http://al-fikrah.net/News/article/sid=757.html dan http://www.tranungkite.net/teladan/teladan277.htm

Thursday, August 5, 2010

13 Wasiat Rasulullah SAW

RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib.Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.

Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang beriman.

Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:
Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: “Pada hari perkahwinan dengan Fatimah,Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:”

  1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal’un).
  2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah’. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.
  3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar: “Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta” ( Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: “Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia”.
  4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.
  5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.
  6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.
  7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.
  8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.
  9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikatkerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.
  10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankan diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.
  11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.
  12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.
  13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaa, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.
Dicopy paste dari http://www.mumin.net/muslim/13-wasiat-rasulullah-kepada-saidina-ali/